Bertemu dengan Tuhan

9 11 2008

Assalamu’alaikum. Renungan buat para Mujahid.

imam

Hukuman Tembak

 

Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas telah dihukum mati pada pagi tadi bersamaan 9 November 2008 (ketika artikel ini ditulis). Setelah bertahun-tahun berada di pusat tahanan di Nusakembangan. Melalui beberapa proses pengadilan dan rayuan. Maka tetap diputuskan sebagai bersalah. Akibat tangan-tangan mereka yang telah mengorbankan banyak jiwa. Kaedah hukuman ialah TEMBAKAN terhadap ketiga-tiga mereka. Kesan obsesi terhadap jihad, maka bayarannya juga semahal jihad. Kejadian pengeboman di Bali menjadikan mereka antara suspek utama pencetus teror di kepulauan Indonesia itu. Tujuannya untuk menyedarkan Amerika dan para sekutunya bahawa Islam mampu bangkit melawan kekafiran mereka.

 

Meninggikan Kalimah Allah

 

Peristiwa di atas sekadar cuplikan kecil dari siri-siri jihad yang kini giat dilancarkan diseluruh dunia. Benar, Islam kini dilihat sebagai saingan penggugat utama para kuffar dan toghut. Sama ada dari segi pengamalan spiritual, mahupun secara amalan kehidupan yang praktik. Islam dilihat sebagai ‘batu besar’ yang menghalang cita-cita golongan anti-Tuhan untuk menguasai dunia seisinya! Maka oleh yang demikian sudah tentu wajar sekali wujud kelompok tentera Allah yang berjuang di atas landasan-Nya bagi meninggikan kalimah Allah yang Maha Suci.

 

Cuma aku terkadang jadi bingung. Aku mengaku bahawa pengetahuanku tentang jihad sangat terhad dan nipis. Boleh saja dibolak-balik sekiranya berdepan dengan perbincangan-perbincangan dan situasi-situasi tertentu yang berintipati atau sekadar berbicara tentang jihad. Jihad Qital merupakan tuntutan yang terkandung di dalam al-Quran. Ya, aku setuju. Banyak ayat-ayat yang membicarakan tentang kewajipan berperang bagi kaum Muslimin yang dipaparkan di dalam surah-surah tertentu al-Quran. Ditambah lagi dengan sirah-sirah perjuangan Rasulullah S.A.W. Menambah yakin aku kepada jihad peperangan menentang golongan kafir yang menentang Islam. Cuma aku perlu lebih input dalam membicarakan erti ‘Meninggikan Kalimah Allah’.

 

Apa yang dilakukan oleh Imam Samudera dan rakan-rakannya. Apa yang dilakukan oleh Osama Laden dan jundu-jundunya. Apa yang berlaku di Iraq saban hari. Di pakistan. Di Afghanistan. Mensasarkan massa sebagai target melepaskan dendam terhadap kuffar yang menentang Islam. Bagaimana agaknya untuk mentafsirkan jihad yang dilakukan ini sebagai ‘Meninggikan Kalimah Allah’? Apakah segala syarat dan rukun jihad fi sabililLah telah dipatuhi dalam siri-siri jihad sebegini?

 

Antara Sunnah dan Syi’ah

 

            Kita mengaku sebagai kelompok aliran Sunnah. Apabila berlaku Revolusi Iran beberapa lama dahulu, maka kita seolah mendapat ‘pakaian baru’ ketika menjelang ‘idulfitri. Sunnah yang menjadi kebanggaan sekadar menjadi tanda nama. Tokoh seperti Ayatollah Khomeini pula menjadi idola sebahagian besar pejuang-pejuang Islam di Malaysia yang memperjuangkan aliran Sunnah. Maka, bertebaran pula buku-buku ‘perjuangan’ yang cenderung mengaitkan Revolusi di Iran sebagai petanda Islam telah kembali bangkit. Gambar-gambar Tok-Tok Guru dan para ulama’ digandingkan dengan tokoh-tokoh ulama’ Iran.

 

            Secara global pula, Hizbullah yang memang asal doktrinnya Syi’ah dilihat lebih mengamalkan jihad sebenar menentang Israel Laknatullah secara peperangan. Bukan dengan kaedah membunuh massa seperti yang dilakukan Al-Qaeda dan kebanyakan Mujahidin yang seangkatan dengan Imam Samudera, Amrozi dan Mukhlas. Mereka-mereka ini pada fikiran saya merupakan pengamal aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah (bukan berdasarkan analisis kritis – penulis). Namun apa yang berlaku dan dilakukan adalah sebaliknya. Apa yang ingin saya ketengahkan ini adalah dari segi uslub jihad. Bukan dari segi i’tikad dan aqidah mereka.

 

Kesudahan Yang Diimpikan

 

            Bagi setiap Mujahidin di Jalan Allah, mati syahid adalah perkara yang paling dicita-citakan. Bertemu Tuhan dalam keadaan yang paling mulia dan terhormat. Aku juga kalau diberi kesempatan untuk berada dalam saf peperangan di jalan Allah turut mengimpikan yang sama. Walau bagaimanapun, syahid juga ada peringkat-peringkatnya. Syahid dunia. Syahid Akhirat. Syahid dunia dan akhirat. Aku sendiri pun tidak pasti aku dari golongan mana pada kesudahannya. Semoga Allah mengurniakan tempat yang sebaik-baiknya kepada mereka yang telah meletakkan perjuangan membela Islam dengan ikhlas sebagai prioriti. Allahummansuril Mujahidin Fi Kulli Makan, wa Fi Kulli Zaman.





Antara Usrah & Ummah

8 11 2008

Assalamu’alaikum.

Dedikasi buat para abi yang terlupa. Akan tapak permulaan tarbiyyahnya…

 

MAAFKAN ABI

Sudah sebulan lebih aku tak menulis dalam blog ni. Atas kesibukan yang bertimpa-timpa sejak kebelakangan ni, aku jadi letih. Peperiksaan akhir tahun, dokumen-dokumen yang semuanya bernotis ‘urgent’, urusan pemulangan buku teks pelajar… memang betul-betul memenatkan. Emosi pula kerap hilang stabiliti. Rasa cepat nak marah. Kesian dengan Marsha. Nak bermanja dengan Abinya waktu pulang kerja. Tapi kena marah pula. Maafkan Abi ye anje. Abi tak sengaja. Abi cuma seorang ayah yang biasa-biasa saja. Sedang usaha jadi mithali tapi terkadang ‘tersadung’ juga dalam proses ke situ. Nasib baik ada Ummi yang sudi pujuk permata hati kami yang sulung ni. Terima kasih Ummi.

 

usrah 

 

Nak jaga hati seorang isteri juga bukan mudah. Aku pun jarang ada quality time dengan zaujahku. Kalau aku jadi isteri, aku pun akan rasa perkara yang sama agaknya. Rasa kurang diberi perhatian. Apa tidaknya. Siang aku bekerja di sekolah. Malam aku kena buat kerja-kerja dokumentasi. Menyiapkan kertas kerja-kertas kerja program jamaah. Merancang dan menyusun atur organisasi syabab. Dengan apa lagi semua itu, dengan menghadap laptop ni la. Aku mengaku, sejak kebelakangan ni aku lebih banyak menghadap laptop daripada menghadap zaujahku. Tak hairan la kalau zaujahku boleh cemburu dengan laptop yang tak bernyawa dan tak beremosi ni. Abi mintak maaf ye Ummi. Memikirkan masalah ummah memang satu kerja berat dan perlu komitmen pada tahap tinggi. Harap Ummi dapat mengerti.

 

MASALAH UMMAH?

Dalam leka aku memikirkan pendekatan demi pendekatan untuk mendekatkan ummat manusia kepada Islam, hati aku seolah senak. Seolah otakku buntu berfikir apa-apa. Lebih kurang 10 minit hang begitu saja. Kenapa gamaknya ye? Baru tadi, aku mengkoreksi diri semula. Ummah itu datang dari mana? Apakah dakwah itu disebar kepada mad’u yang wujud secara tiba-tiba? Para pendakwah yang akan menyambung mata rantai perjuangan ini asalnya di mana? Astaghfirullahal’adzim! Patut saja kalau Islam sukar diterima masyarakat. Kerana da’ei sendiri lupa permulaan tapak dakwahnya. Usrahnya. Kepentingan membangunkan dan memantapkan fikrah keluarganya.

 

Patut saja dakwahku kekadang ‘tidak sampai’ ke hati manusia. Kerana keluargaku sendiri aku sisih dari rangkulan dakwah yang berterusan. Kesian keluargaku. Dalam pada kesibukan Abi menanam dan membina tunas-tunas baru, Abi terlupa dengan organisasi utama Abi sendiri yang kurang perhatian tarbiyyah. Sedangkan dari sinilah Abi mendapat motivasi kekuatan dan semangat. Mencambah keazaman dan dedikasi. Masalah ummah yang Abi fikirkan selama ini sebenarnya dimulai dari komuniti kecil yang Abi miliki sekarang ini.

 

KENGERIAN DI PENGHUJUNG ZAMAN

Aku cukup ngeri bila mengenangkan apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di persekitaranku. Di sekolah, baru-baru ini berlaku lagi kejadian zina di kalangan pelajar-pelajar. Namun kali ini, pelajar dengan pekerja kantin asrama. Astaghfirullahal adziim! Aku jadi takut dengan keadaan yang semakin parah ini. Dulu, kejadiannya berlaku di dalam surau. Tempat azan dilaungkan. Tiba-tiba menjadi tempat nafsu tunggangan syaitan beroperasi. Bila ditimbang-timbang… institusi surau juga tidak berperanan. Aku juga sendiri sebagai guru kurang berperanan. Makanya, surau menjadi tempat yang semakin jauh dari hidayah. Bukan lagi menjadi tempat manusia mendekatkan diri kepada Allah. Maafkan aku Tuhan atas kelemahan diri ini.

 

Teruk sudah masyarakat Islam. Sudahlah disuntik dengan ‘ubat Yahudi dan toghut’ setiap hari. Di TV, di surat khabar. Di siber. Islam sekadar hasil cetakan di kad pengenalan. Membesarkan anak dalam keadaan persekitaraan masyarakat yang serba negatif membuat aku jadi takut dengan apa yang bakal dihadapi oleh Marsha dan anak-anakku yang lain di masa depan nanti. Apakah ‘hidangan’ sosial yang bakal mereka lalui nanti? Cukuplah Allah sebagai penolongku dalam menjalani kehidupan sebagai seorang suami dan seorang Abi.





Ramadhanku Yang Berangkat Pergi…

29 09 2008

Sayu benar hati semasa menulis catatan ini. Tambah memilukan bilamana dalam kuliah-kuliah di akhir Ramadhan ini, ustaz-ustaz acapkali mengingatkan sidang hadirin untuk mempertingkatkan amalan dalam meniti sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki. Perkataan “sisa” dan “baki” agak kurang menyenangkan pendengaranku. Walaupun itulah realitinya, tapi aku lebih selesa menggunakan “hari-hari kemuncak Ramadhan”. Kemuncak segala amal peribadatan. kemuncak dalam menghasilkan persembahan terbaik buat Al-Khalik.

Teringat semasa zaman di universiti dahulu. Pernah aku menghantar assignment “tak cukup sifat” kepada seorang pensyarah disebabkan oleh banyaknya tugasan yang lebih aula’ untuk diuruskan. Assignment yang dibuat bermula pukul 3 pagi dan usai pada 6.30 pagi bukanlah sebuah hasil kerja yang mampu mengkagumkan mana-mana pensyarah di dunia sekalipun. Natijahnya, markah untuk tugasan aku pada hari itu cuma cukup makan sahaja. Itu pun sesudah mendengar “slot ceramah” daripada pensyarah itu yang cukup memedihkan telinga dan memerahkan muka. Itulah pengalaman. Walaupun pedih semasa melaluinya, tetapi manis bila terkenangkannya.

Begitu juga pengalaman itu menyadarkan aku tentang ‘servis’ kepada TUHAN. Apakah ianya juga sekadar cukup makan? Adakah mendapat perhatian dari TUHAN? Tercapaikah objektif Ramadhan yang dianjurkan? Ya ALLAH, terimalah pengibadatanku dan pandanglah daku dengan Rahmat-MU. Perteguhkan istiqomahku. Jauhi daku dari jilatan jahannam-MU. Peliharalah anggota keluargaku, sahabat-sahabatku dan kesemua mereka yang memohon redho dari-MU Ya ALLAH…

Mudah-mudahan masih ada Ramadhan lagi buatku dan buat kita selepas ini…





Pohon Hijau Itu…

25 09 2008

Assalamu’alaikum.

Hampir setengah jam ber-YM dengan seorang sahabat yang berada di Sabah Bumi Tarbiyyah JIKUMS. Lama benar tak berjumpa. Akhirnya bertemu di alam siber, berkat penghasilan SenTELUK oleh para moderator jundiyyah. Di situlah ukhuwwah didefinisikan kembali. Ya, sedar tak sedar… sudah hampir 4 tahun aku meninggalkan alam universiti, alam bermulanya aku mengenal erti tarbiyyah dan dakwah, teori dan pengamalan serta iltizam dan istiqomah. Riak wajah dan susuk tubuh “konsisten” Abang Jamal si naqib dengan identiti tersendiri serta sahabat-sahabat seusrah / se-Penggerak Jihad ke-3 kerap juga “merayau” dalam ingatan ini. Aku rindu suasana itu…

Bercerita soal tarbiyyah, ana bersetuju dengan pandangan Almarhum Syahid Hassan al-Banna berkaitan firman Allah. Kata beliau, firman-firman Allah ini didefinisikan dalam dua keadaan; Pertama, ianya merupakan ayat-ayat Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Kedua, ianya merupakan ayat-ayat Allah yang tergambar, yang dapat dilihat dan dinikmati oleh pancaindera manusia. Sebagaimana apabila kita berjaya menggabungkan otak kiri dan otak kanan, maka natijah pemahaman yang diadaptasi dari kedua-dua bahagian ini akan membawa kepada SUBHANALLAH! Suatu ungkapan ringkas yang padat dengan keagungan Al-Khalik.

Barangkali kita biasa mencemuh, mengeluh, mengomel dan berekspresi negatif bilamana berhadapan dengan sesuatu perkara yang tidak kita sukai. Lebih-lebih lagi bila perkara tersebut datang secara tiba-tiba tanpa dirancang dan diundang. “Ni apahal pulak motosikal ni mampus tiba-tiba? Bosan betullah. Aku dah lewat ni…“, “Masa aku nak guna buku, masa tu la dia nak hilang sangat…arrgghhh!!!“, “Bila la nak abis study aku ni…tension btol! Memember lain dah keje dan rasa RM sendiri…aduuuiiii laaa!“. Itu antara ungkapan-ungkapan yang biasa didengar dari lubuk hati yang depresi. Aku juga pernah begitu dan mungkin akan begitu lagi… dalam sesekali.

Walau bagaimanapun, semenjak aku mengajar dan mengamati ilmu Fizik dalam beberapa tahun ini, rahsia kejadian ciptaan Allah perlahan-lahan terungkap. Bahawasanya persekitaran kita sebenarnya ada hubungan yang rapat dengan kehidupan kita. Seolah-olah sedang menterjemahkan apa yang berlaku kepada diri kita dan metaforanya adalah alam ini. “Allah sedang berbicara denganmu, Fahri! Allah sedang berbicara denganmu tentang ikhlas…tentang sabar!” begitu kata-kata itu muncul kembali berdengung dalam ingatanku. Novel dan filem Ayat-ayat Cinta nukilan Habiburrahman el-Syirazi begitu menyentuh hatiku. Benar! Allah sebenarnya sedang berbicara dengan kita. Setiap waktu. Terpulang kepada kita untuk memahami bicara-Nya.

Allah SWT tidak menjadikan alam ini dengan sia-sia. Ada tujuan-tujuan tertentu penciptaan itu. Buat manusia berfikir, mentafsir, mentahkik dan menterjemahkannya dalam kehidupan. Kita seringkali didatangi atau berdepan dengan payahnya suasana, peritnya berjuang, panjangnya perjalanan dan sukarnya bersabar. Berbicara soal mehnah dan tribulasi mengingatkan aku pada pokok kunyit dan pokok lada yang disemai zaujahku di tepi rumah sewa kami.

Seronok melihat bagaimana pokok-pokok ini yang asalnya cuma daripada benih-benih yang disemai, lantas membesar menjadi tunas-tunas yang melestarikan kehidupan generasi tumbuhan. Hampir seminggu berlalu selepas disemai, tunas-tunas pokok lada mula mencambahkan harapannya. Kunyit masih bersabar menanti giliran, membuatkan aku tertanya, “Tak menjadi ke pokok kunyit ni?”. Hari-hari berlalu, generasi kunyit yang disemai masih istiqomah dalam tanah berbaja. Ya, BAJA. Komposisinya urea, makanan-makanan basi dan kayu-kayu reput. Ringkasnya digelar baja Organik. Kotor dan kumuh kandungannya…

Hampir sebulan menunggu, tunas si kunyit mula muncul di permukaan tanah. bukan satu tapi dua tunas mula bercambah. SUBHANALLAH! perkataan pertama yang terpacul dari bibirku bila pertama kali melihat tunas si kunyit yang hijau. Selama ini aku tidak begitu meletakkan harapan bahawa ia akan tumbuh. Sebaliknya, kini ia semakin mekar dan membesar. Membawa kehidupan baru di muka bumi Allah ini.

Inilah hasil kerja TUHAN RABBUL JALIL yang MAHA PENCIPTA. Ketika manusia beransur-ansur putus harapan, dihadiahkan kegembiraan pada waktu yang sangat bertepatan. Cuma manusia tidak melihatnya sebagai suatu nikmat…jarang-jarang.

Sesuatu yang dilihat kotor tidak semestinya dinilai sebagai tidak sempurna dan tidak berguna. Baja organik yang diadun dengan najis haiwan, makanan basi dan bahan reputan tumbuhan, cukup menjijikkan jika dilihat pada pandangan mata kasar. Namun, Allah Maha Mengetahui. Bahan-bahan yang dilihat kumuh ini menyimpan pelbagai nutrien dan zat kepada tumbuhan yang bakal tumbuh nanti.

Begitulah ibaratnya kehidupan manusia dan diri kita khususnya, yang meletakkan perjuangan meninggikan kalimatulLah sebagai menu utama. Kekuatan kita sebenarnya datang daripada penderitaan dan rintangan yang kita tempuhi. Kematangan kita datangnya daripada pemahaman terhadap kondisi-kondisi situasi yang rumit dan berliku. Keyakinan kita terhadap fikrah yang kita perjuangkan terhasil daripada ketahanan berhadapan dengan anasir-anasir su’ (baca: “suk” bermaksud “jahat”). Pernahkah kita terfikir sebelum ini, bagaimana kebusukan politik sesetengah pihak akhirnya mengalihkan perhatian manusia untuk berdamping dengan pembawa kebenaran? Setiap kejadian ada fungsinya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kekotoran sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada kebersihan dan nilai suci. Umpama pohon yang dibaja dengan “kumuh”, rupanya bercambah melestarikan satu kehidupan lagi…





Dari kegelapan kepada an-Nur

24 09 2008





Iftar sendiri…

23 09 2008

Salam 23 Ramadhan.

Hari ini masuk hari ke-5 zaujahku diuji dengan ‘chicken pox’. Berat mata memandang. Sayu hati menderam. Tubuhnya lemah sehinggakan nak melayan karenah anak sulung kami Raudhatul Marsha pun tak terdaya. Bintik-bintik merah yang menjalar ke seluruh tubuh yang lemah itu terasa pedih bila bergesel dengan pakaiannya. Apatah lagi bila anak kecil yang belum faham bahasa itu mendakap keras tubuh si ummi untuk bermanja, terpaksa ditepis-tepis, “Sori kakak… Ummi nak sangat peluk dan cium kakak. Tapi Ummi sakit. Nanti bila dah sihat, Ummi dukung ok”. Anak comel permata hati kami ini seolah mengerti derita Ummi. Sambil mulut dimuncungkan (tanda minta susu botol), Marsha si permata hati berhenti dari cuba memeluk Umminya.

Hari ni juga merupakan hari ke-2 aku membujang seorang diri di rumah sewa kami di Kerayong, Bera. Zaujah dan anak dah dihantar ke rumah mertua supaya ada yang boleh mengurus mereka berdua. Kalau tinggal di Kerayong ni susah sedikit. Aku kena keluar bekerja cari nafkah dan terpaksa tinggalkan mereka di rumah dalam keadaan hati yang kurang selesa. Isteri yang sakit + anak 1 setengah tahun yang sedang aktif = huru-hara rumah. Maka, terpaksalah bonda mertua jadi tempat mengadu. Nak dihantar ke rumah Ummi aku, bimbang zaujah rasa janggal dan tidak selesa kerana sepupu lelaki aku juga ada di sana. Kurang selesa pula kalau nak membuka hijab di sana. Kesian zaujahku…

Hari ini apalah agaknya santapan berbukaku? Nasi malam tadi masih banyak berbaki. NASI GORENG! Ya, memang agak lama tekak ini tidak merasa nasi goreng. Usai kerja nanti singgah ke kedai membeli telur dulu. Aduhai sengsaranya berjauhan dengan zaujah…





Muqaddimah

23 09 2008

Salam Ramadhan al-Mubarak.

Betapa cepatnya detak-detik al-Asr (masa) berlalu. Terasa baru sahaja muqaddimah Ramadhan menyapa di awal September lepas. Hari ini, Ramadhan cuma berbaki seminggu lagi. Syawal pula dalam perjalanan membawa makna kemenangan kepada insan-insan yang disucikan oleh puasa mereka. Ramadhan pula bakal pergi meninggalkan seinfiniti rahsia Allah yang tak terungkap dek akal…meninggalkan manusia-manusia yang berfahaman puasa adat, puasa percaya, puasa YAQIN dan puasa HAQQUL YAQIN. Apakah Ramadhan ada lagi buat aku selepas ini?