Ramadhanku Yang Berangkat Pergi…

29 09 2008

Sayu benar hati semasa menulis catatan ini. Tambah memilukan bilamana dalam kuliah-kuliah di akhir Ramadhan ini, ustaz-ustaz acapkali mengingatkan sidang hadirin untuk mempertingkatkan amalan dalam meniti sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki. Perkataan “sisa” dan “baki” agak kurang menyenangkan pendengaranku. Walaupun itulah realitinya, tapi aku lebih selesa menggunakan “hari-hari kemuncak Ramadhan”. Kemuncak segala amal peribadatan. kemuncak dalam menghasilkan persembahan terbaik buat Al-Khalik.

Teringat semasa zaman di universiti dahulu. Pernah aku menghantar assignment “tak cukup sifat” kepada seorang pensyarah disebabkan oleh banyaknya tugasan yang lebih aula’ untuk diuruskan. Assignment yang dibuat bermula pukul 3 pagi dan usai pada 6.30 pagi bukanlah sebuah hasil kerja yang mampu mengkagumkan mana-mana pensyarah di dunia sekalipun. Natijahnya, markah untuk tugasan aku pada hari itu cuma cukup makan sahaja. Itu pun sesudah mendengar “slot ceramah” daripada pensyarah itu yang cukup memedihkan telinga dan memerahkan muka. Itulah pengalaman. Walaupun pedih semasa melaluinya, tetapi manis bila terkenangkannya.

Begitu juga pengalaman itu menyadarkan aku tentang ‘servis’ kepada TUHAN. Apakah ianya juga sekadar cukup makan? Adakah mendapat perhatian dari TUHAN? Tercapaikah objektif Ramadhan yang dianjurkan? Ya ALLAH, terimalah pengibadatanku dan pandanglah daku dengan Rahmat-MU. Perteguhkan istiqomahku. Jauhi daku dari jilatan jahannam-MU. Peliharalah anggota keluargaku, sahabat-sahabatku dan kesemua mereka yang memohon redho dari-MU Ya ALLAH…

Mudah-mudahan masih ada Ramadhan lagi buatku dan buat kita selepas ini…








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.