Ramadhanku Yang Berangkat Pergi…

29 09 2008

Sayu benar hati semasa menulis catatan ini. Tambah memilukan bilamana dalam kuliah-kuliah di akhir Ramadhan ini, ustaz-ustaz acapkali mengingatkan sidang hadirin untuk mempertingkatkan amalan dalam meniti sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki. Perkataan “sisa” dan “baki” agak kurang menyenangkan pendengaranku. Walaupun itulah realitinya, tapi aku lebih selesa menggunakan “hari-hari kemuncak Ramadhan”. Kemuncak segala amal peribadatan. kemuncak dalam menghasilkan persembahan terbaik buat Al-Khalik.

Teringat semasa zaman di universiti dahulu. Pernah aku menghantar assignment “tak cukup sifat” kepada seorang pensyarah disebabkan oleh banyaknya tugasan yang lebih aula’ untuk diuruskan. Assignment yang dibuat bermula pukul 3 pagi dan usai pada 6.30 pagi bukanlah sebuah hasil kerja yang mampu mengkagumkan mana-mana pensyarah di dunia sekalipun. Natijahnya, markah untuk tugasan aku pada hari itu cuma cukup makan sahaja. Itu pun sesudah mendengar “slot ceramah” daripada pensyarah itu yang cukup memedihkan telinga dan memerahkan muka. Itulah pengalaman. Walaupun pedih semasa melaluinya, tetapi manis bila terkenangkannya.

Begitu juga pengalaman itu menyadarkan aku tentang ‘servis’ kepada TUHAN. Apakah ianya juga sekadar cukup makan? Adakah mendapat perhatian dari TUHAN? Tercapaikah objektif Ramadhan yang dianjurkan? Ya ALLAH, terimalah pengibadatanku dan pandanglah daku dengan Rahmat-MU. Perteguhkan istiqomahku. Jauhi daku dari jilatan jahannam-MU. Peliharalah anggota keluargaku, sahabat-sahabatku dan kesemua mereka yang memohon redho dari-MU Ya ALLAH…

Mudah-mudahan masih ada Ramadhan lagi buatku dan buat kita selepas ini…





Pohon Hijau Itu…

25 09 2008

Assalamu’alaikum.

Hampir setengah jam ber-YM dengan seorang sahabat yang berada di Sabah Bumi Tarbiyyah JIKUMS. Lama benar tak berjumpa. Akhirnya bertemu di alam siber, berkat penghasilan SenTELUK oleh para moderator jundiyyah. Di situlah ukhuwwah didefinisikan kembali. Ya, sedar tak sedar… sudah hampir 4 tahun aku meninggalkan alam universiti, alam bermulanya aku mengenal erti tarbiyyah dan dakwah, teori dan pengamalan serta iltizam dan istiqomah. Riak wajah dan susuk tubuh “konsisten” Abang Jamal si naqib dengan identiti tersendiri serta sahabat-sahabat seusrah / se-Penggerak Jihad ke-3 kerap juga “merayau” dalam ingatan ini. Aku rindu suasana itu…

Bercerita soal tarbiyyah, ana bersetuju dengan pandangan Almarhum Syahid Hassan al-Banna berkaitan firman Allah. Kata beliau, firman-firman Allah ini didefinisikan dalam dua keadaan; Pertama, ianya merupakan ayat-ayat Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Kedua, ianya merupakan ayat-ayat Allah yang tergambar, yang dapat dilihat dan dinikmati oleh pancaindera manusia. Sebagaimana apabila kita berjaya menggabungkan otak kiri dan otak kanan, maka natijah pemahaman yang diadaptasi dari kedua-dua bahagian ini akan membawa kepada SUBHANALLAH! Suatu ungkapan ringkas yang padat dengan keagungan Al-Khalik.

Barangkali kita biasa mencemuh, mengeluh, mengomel dan berekspresi negatif bilamana berhadapan dengan sesuatu perkara yang tidak kita sukai. Lebih-lebih lagi bila perkara tersebut datang secara tiba-tiba tanpa dirancang dan diundang. “Ni apahal pulak motosikal ni mampus tiba-tiba? Bosan betullah. Aku dah lewat ni…“, “Masa aku nak guna buku, masa tu la dia nak hilang sangat…arrgghhh!!!“, “Bila la nak abis study aku ni…tension btol! Memember lain dah keje dan rasa RM sendiri…aduuuiiii laaa!“. Itu antara ungkapan-ungkapan yang biasa didengar dari lubuk hati yang depresi. Aku juga pernah begitu dan mungkin akan begitu lagi… dalam sesekali.

Walau bagaimanapun, semenjak aku mengajar dan mengamati ilmu Fizik dalam beberapa tahun ini, rahsia kejadian ciptaan Allah perlahan-lahan terungkap. Bahawasanya persekitaran kita sebenarnya ada hubungan yang rapat dengan kehidupan kita. Seolah-olah sedang menterjemahkan apa yang berlaku kepada diri kita dan metaforanya adalah alam ini. “Allah sedang berbicara denganmu, Fahri! Allah sedang berbicara denganmu tentang ikhlas…tentang sabar!” begitu kata-kata itu muncul kembali berdengung dalam ingatanku. Novel dan filem Ayat-ayat Cinta nukilan Habiburrahman el-Syirazi begitu menyentuh hatiku. Benar! Allah sebenarnya sedang berbicara dengan kita. Setiap waktu. Terpulang kepada kita untuk memahami bicara-Nya.

Allah SWT tidak menjadikan alam ini dengan sia-sia. Ada tujuan-tujuan tertentu penciptaan itu. Buat manusia berfikir, mentafsir, mentahkik dan menterjemahkannya dalam kehidupan. Kita seringkali didatangi atau berdepan dengan payahnya suasana, peritnya berjuang, panjangnya perjalanan dan sukarnya bersabar. Berbicara soal mehnah dan tribulasi mengingatkan aku pada pokok kunyit dan pokok lada yang disemai zaujahku di tepi rumah sewa kami.

Seronok melihat bagaimana pokok-pokok ini yang asalnya cuma daripada benih-benih yang disemai, lantas membesar menjadi tunas-tunas yang melestarikan kehidupan generasi tumbuhan. Hampir seminggu berlalu selepas disemai, tunas-tunas pokok lada mula mencambahkan harapannya. Kunyit masih bersabar menanti giliran, membuatkan aku tertanya, “Tak menjadi ke pokok kunyit ni?”. Hari-hari berlalu, generasi kunyit yang disemai masih istiqomah dalam tanah berbaja. Ya, BAJA. Komposisinya urea, makanan-makanan basi dan kayu-kayu reput. Ringkasnya digelar baja Organik. Kotor dan kumuh kandungannya…

Hampir sebulan menunggu, tunas si kunyit mula muncul di permukaan tanah. bukan satu tapi dua tunas mula bercambah. SUBHANALLAH! perkataan pertama yang terpacul dari bibirku bila pertama kali melihat tunas si kunyit yang hijau. Selama ini aku tidak begitu meletakkan harapan bahawa ia akan tumbuh. Sebaliknya, kini ia semakin mekar dan membesar. Membawa kehidupan baru di muka bumi Allah ini.

Inilah hasil kerja TUHAN RABBUL JALIL yang MAHA PENCIPTA. Ketika manusia beransur-ansur putus harapan, dihadiahkan kegembiraan pada waktu yang sangat bertepatan. Cuma manusia tidak melihatnya sebagai suatu nikmat…jarang-jarang.

Sesuatu yang dilihat kotor tidak semestinya dinilai sebagai tidak sempurna dan tidak berguna. Baja organik yang diadun dengan najis haiwan, makanan basi dan bahan reputan tumbuhan, cukup menjijikkan jika dilihat pada pandangan mata kasar. Namun, Allah Maha Mengetahui. Bahan-bahan yang dilihat kumuh ini menyimpan pelbagai nutrien dan zat kepada tumbuhan yang bakal tumbuh nanti.

Begitulah ibaratnya kehidupan manusia dan diri kita khususnya, yang meletakkan perjuangan meninggikan kalimatulLah sebagai menu utama. Kekuatan kita sebenarnya datang daripada penderitaan dan rintangan yang kita tempuhi. Kematangan kita datangnya daripada pemahaman terhadap kondisi-kondisi situasi yang rumit dan berliku. Keyakinan kita terhadap fikrah yang kita perjuangkan terhasil daripada ketahanan berhadapan dengan anasir-anasir su’ (baca: “suk” bermaksud “jahat”). Pernahkah kita terfikir sebelum ini, bagaimana kebusukan politik sesetengah pihak akhirnya mengalihkan perhatian manusia untuk berdamping dengan pembawa kebenaran? Setiap kejadian ada fungsinya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kekotoran sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada kebersihan dan nilai suci. Umpama pohon yang dibaja dengan “kumuh”, rupanya bercambah melestarikan satu kehidupan lagi…





Dari kegelapan kepada an-Nur

24 09 2008





Iftar sendiri…

23 09 2008

Salam 23 Ramadhan.

Hari ini masuk hari ke-5 zaujahku diuji dengan ‘chicken pox’. Berat mata memandang. Sayu hati menderam. Tubuhnya lemah sehinggakan nak melayan karenah anak sulung kami Raudhatul Marsha pun tak terdaya. Bintik-bintik merah yang menjalar ke seluruh tubuh yang lemah itu terasa pedih bila bergesel dengan pakaiannya. Apatah lagi bila anak kecil yang belum faham bahasa itu mendakap keras tubuh si ummi untuk bermanja, terpaksa ditepis-tepis, “Sori kakak… Ummi nak sangat peluk dan cium kakak. Tapi Ummi sakit. Nanti bila dah sihat, Ummi dukung ok”. Anak comel permata hati kami ini seolah mengerti derita Ummi. Sambil mulut dimuncungkan (tanda minta susu botol), Marsha si permata hati berhenti dari cuba memeluk Umminya.

Hari ni juga merupakan hari ke-2 aku membujang seorang diri di rumah sewa kami di Kerayong, Bera. Zaujah dan anak dah dihantar ke rumah mertua supaya ada yang boleh mengurus mereka berdua. Kalau tinggal di Kerayong ni susah sedikit. Aku kena keluar bekerja cari nafkah dan terpaksa tinggalkan mereka di rumah dalam keadaan hati yang kurang selesa. Isteri yang sakit + anak 1 setengah tahun yang sedang aktif = huru-hara rumah. Maka, terpaksalah bonda mertua jadi tempat mengadu. Nak dihantar ke rumah Ummi aku, bimbang zaujah rasa janggal dan tidak selesa kerana sepupu lelaki aku juga ada di sana. Kurang selesa pula kalau nak membuka hijab di sana. Kesian zaujahku…

Hari ini apalah agaknya santapan berbukaku? Nasi malam tadi masih banyak berbaki. NASI GORENG! Ya, memang agak lama tekak ini tidak merasa nasi goreng. Usai kerja nanti singgah ke kedai membeli telur dulu. Aduhai sengsaranya berjauhan dengan zaujah…





Muqaddimah

23 09 2008

Salam Ramadhan al-Mubarak.

Betapa cepatnya detak-detik al-Asr (masa) berlalu. Terasa baru sahaja muqaddimah Ramadhan menyapa di awal September lepas. Hari ini, Ramadhan cuma berbaki seminggu lagi. Syawal pula dalam perjalanan membawa makna kemenangan kepada insan-insan yang disucikan oleh puasa mereka. Ramadhan pula bakal pergi meninggalkan seinfiniti rahsia Allah yang tak terungkap dek akal…meninggalkan manusia-manusia yang berfahaman puasa adat, puasa percaya, puasa YAQIN dan puasa HAQQUL YAQIN. Apakah Ramadhan ada lagi buat aku selepas ini?








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.